Salahkah kami minat Kpop?
Bismillahirrahmanirrahim...
K-POP : "Korean Pop" (Muzik Pop Korea) adalah sejenis muzik yang berasal dari Korea Selatan. Hebatnya K-Pop ini tempiasnya menyebabkan berlaku fenomena hebat disebut Hallyu atau Korean Wave iaitu Gelombang Korea. Negara kita juga salah sebuah negara yang menerima tempias cukup hebat!
Sebenarnya ramai yang tanya saya tentang K-Pop dan bagaimana pula pandangan dari sudut agama Islam, sebelum ni saya ada menjawab beberapa pertanyaan di Twitter. Alhamdulillah ramai yang berpuas hati. Tapi memandangkan soalan yang sama berulang kali ditanya hingga ke harini. Jadi saya rasa patut dan perlu saya muatkan jawapan penuh saya sebagai artikel blog yang daif ini. Sebelum itu suka saya ingatkan yang saya kurang menyentuh bab hukum atas alasan klise kurangnya ilmu. Dan saya tak minat K-Pop! Heh~ Jadi rajin-rajinkanlah bertanya kepada yang lebih arif. Artikel ini cuma jawapan biasa dari saya.
"Salah ke kami minat K-Pop?"
Minat adalah suatu keadaan dimana seseorang mempunyai perhatian terhadap sesuatu dan disertai keinginan untuk mengetahui dan mempelajari mahupun membuktikan rasa sukanya.
Pada saya perasaan "minat" itu adalah fitrah setiap dari kita. Setiap orang Allah anugerahkan rasa suka, cinta atau minat dan tidak ada sesiapa yang dapat menghalang perasaan itu melainkan tuan punya tubuh itu sendiri. Pun begitu Allah SWT berikan akal kepada manusia untuk meletakkan rasa minat itu pada tempat yang baik bahkan mengikut syariat agama. Sebab tu sebelum ni dalam artikel saya tentang couple, saya cakap cinta itu fitrah. Tak salah bercinta. Tapi Islam didik kita meletakkan cinta itu pada tempatnya.
(Artikel : "Kalau tak couple macam mana nak kenal hati budi dia?")
Berbalik pada perbincangan kita, hasil rujukan saya melalui beberapa sumber termasuklah buku dan beberapa ulama-ulama yang begitu arif dengan hukum dalam Islam menyatakan tidak salah minat dengan artis K-Pop dengan syarat anda tidak menjadikan individu tersebut sebagai idola anda. Apa yang jelas dalam istilah idola ini ialah rasa minat itu tidaklah fanatik (taksub) sehinggakan bilik tidur, telefon bimbit, cadar tilam, sarung bantal, malah baju anda pun penuh dengan gambar artis korea tersebut. Kenapa tak boleh?
"Orang Islam tidak akan ambil orang-orang yang lagha (dalam hiburan seperti penyanyi, pelakon, penari) sebagai orang yang sangat dipuja. Yang kita puja ialah Rasulullah SAW." - Ustaz Azhar Idrus
Pun begitu, minat untuk tengok bakat artis Korea dalam menyanyi, berlakon drama dan sebagainya tidaklah menjadi suatu kesalahan adapun ianya menghiburkan anda. Saya pun pernah tengok drama Korea. hebat! Tapi perbuatan itu tidaklah dituntut dalam Islam dan pastikan ada had. Had yang macam mana? Tidak berimaginasi yang melampaui batas sehinggakan ada individu yang jenis setiap suatu hal dalam hidup dikaitkan dengan kpop, baju anda pun nak jadi kpop, rambut pun nak tiru artis kpop, nak cari suami pun yang macam artis kpop. Dalam bilik tidur ada poster artis kpop, nak tidur kena wish goodnight dekat gambar tu dulu, kena cium gambar artis kesayangan anda dulu baru tidur anda lena. Itu anda kena terima hakikat bahawa anda Islam dan agama larang anda begitu.
"Adakah berdosa pergi konsert K-pop?"
Haram dan dilarang bagi lelaki-lelaki mahupun perempuan-perempuan untuk mengunjungi majlis-majlis maksiat. Apa itu majlis-majlis maksiat? Majlis-majlis maksiat adalah majlis, himpunan atau aktiviti yang boleh merosakkan agama, iman, akhlak, kemuliaan diri dan kesejahteraan induvidu, keluarga, masyarakat, negara dan umat.
Firman Allah SWT :وَقَدْ نَزَّلَ عَلَيْكُمْ فِي الْكِتَابِ أَنْ إِذَا سَمِعْتُمْ آيَاتِ اللَّهِ يُكْفَرُ بِهَا وَيُسْتَهْزَأُ بِهَا فَلَا تَقْعُدُوا مَعَهُمْ حَتَّى يَخُوضُوا فِي حَدِيثٍ غَيْرِهِ إِنَّكُمْ إِذًا مِثْلُهُمْ إِنَّ اللَّهَ جَامِعُ الْمُنَافِقِينَ وَالْكَافِرِينَ فِي جَهَنَّمَ جَمِيعًا
“Dan sesungguhnya Allah telahpun menurunkan kepada kamu (perintahNya) di dalam Kitab (Al-Quran), iaitu: Apabila kamu mendengar ayat-ayat keterangan Allah diingkari dan diejek-ejek (oleh kaum kafir dan munafik), maka janganlah kamu duduk (bergaul) dengan mereka sehingga mereka masuk kepada memperkatakan soal yang lain; kerana sesungguhnya (jika kamu melakukan yang demikian), tentulah kamu sama seperti mereka. Sesungguhnya Allah akan menghimpunkan sekalian orang munafik dan orang kafir di dalam Neraka Jahanam. ” [an-Nisa’ 4:140]Al-Qurthubi RH didalam tafsirnya pula menjelaskan :قوله تعالى : ( فلا تقعدوا معهم حتى يخوضوا في حديث غيره ) أي غير الكفر , ( إنكم إذا مثلهم ) : فدل بهذا على وجوب اجتناب أصحاب المعاصي إذا ظهر منهم منكر ؛ لأن من لم يجتنبهم فقد رضي فعلهم ، والرضا بالكفر كفر . قال الله عز وجل : ( إنكم إذا مثلهم ) فكل من جلس في مجلس معصية ، ولم ينكر عليهم يكون معهم في الوزر سواء .
وينبغي أن ينكر عليهم إذا تكلموا بالمعصية وعملوا بها فإن لم يقدر على النكير عليهم فينبغي أن يقوم عنهم حتى لا يكون من أهل هذه الآية
“Firman Allah swt : (فَلَا تَقْعُدُوا مَعَهُمْ حَتَّى يَخُوضُوا فِي حَدِيثٍ غَيْرِه - maka janganlah kamu duduk (bergaul) dengan mereka sehingga mereka masuk kepada memperkatakan soal yang lain”) – bermaksud bercakap selain dari kufr; (ْإِنَّكُمْ إِذًا مِثْلُهُم – “kerana sesungguhnya (jika kamu melakukan yang demikian), tentulah kamu sama seperti mereka.” – Ini menunjukkan bahawa adalah wajib mengelakkan/menjauhi mereka yang melibatkan diri dengan dosa jika mereka terang-terangan melakukan mungkar! Kerana sesungguh sesiapa yang tidak menjauhinya sebenarnya meredhakan perbuatan mereka, REDHA dengan KUFUR itu sendiri adalah KUFUR. Allah swt berkata (إِنَّكُمْ إِذًا مِثْلُهُمْ – “kerana sesungguhnya, tentulah kamu sama seperti mereka.”). Maka barangsiapa yang duduk didalam satu majlis dimana dosa dilakukan dan tidak menegahnya, maka keatasnya bebanan dosa yang sama seperti mereka.
Maka berdosa bagi kita yang secara sengaja mengunjungi konsert-konsert K-Pop, tengok video-video menari K-pop sebab kebanyakan ulama kategorikan konsert sebegini sebagai majlis maksiat. Kalau kita tengok sendiri memang tiada satu pun konsert K-Pop yang tak ada menari-menari. Tengok pakaian penari mereka pun kita sudah berdarah mata. Kita yang menyokong terjerit-jerit bagai nak gila. Dan saya rasa semua tahu benda tu salah dan anda tak sepatutnya lakukan itu. Maka segera elakkan dan kembali kepada Allah. Kita tahu comel-comel awek K-pop niiii.. tapi sabar. Comel lagi Bidadari yang Allah sedia kat kita di Syurga nanti.
"Peminat K-Pop selalu kena hina, diorang bagus sangat ke? Allah dah tentukan Syurga ke kat diorang? Tak rasa berdosa ke menghina?"
Amboi soalan, begitu cepu cemas saya membacanya. Apa pun terima kasih bertanya. Sebelum tu mari Istighfar sekejap. Redakan rasa marah dalam hati.
Baiklah, begini... Saya selalu sangat scroll timeline Twitter dan Facebook. Boleh kata hari-hari ada saja post bergaduh pasal K-Pop. Team anti Kpop bla bla, team itu dan ini. Lagi banyak bergaduh lagi laju saya scroll sebab malas nak tengok. Nak tergelak, terkentut, bermacam terr.. saya rasa.
Bagi anda yang tak suka K-pop ni pun satu, kena faham istilah tegur, nasihat dan hina itu perkara berbeza. Sungguhpun anda menghina mereka yang minat K-Pop atas niat suci lagi murni anda untuk halang maksiat, halang perkara tak baik dari berterusan. Suka saya ingatkan tak ada satu pun lesen untuk menyokong alasan anda bagi menghina diterima. Setiap hinaan tetap dicatat dan ada dalam buku amalan masing-masing. Kena sedar tu. Tegur dan cubalah nasihat baik-baik. Jelaskan dengan penuh adab kenapa dan mengapa. InsyaAllah, saya tak rasa fans Kpop akan kecil hati dan marah anda sebab mereka pun sayang Islam. Kan kan kan!
Dan bagi anda yang begitu minat dengan Kpop, suka juga saya nasihatkan supaya kurangkan berkongsi gambar artis yang anda minat di laman sosial kerana tiada satu pun manfaat kepada rakan-rakan yang lain malah mengundang rasa kurang selesa pengguna lain. Memang pada dasarnya Twitter dan facebook hak masing-masing, tetapi perlu sedar yang laman sosial tidak didaftarkan untuk anda sendiri. Sebab itu adanya button add friend, follow dan sebagainya untuk menghubungkan anda dengan yang lain.
Kesimpulan
Apa pun saya tak rasa kita patut meletakkan kesalahan ini 100% kepada peminat artis K-Pop sebab dulu pada awal kemunculan dan kemasukan ke Malaysia tiada siapa pun menegahnya. Dan saya yakin internet tetap akan menyebarkan hiburan dalam masa yang singkat sahaja. Tak kisahlah Kpop atau Bollywood atau Hollywood atau Playwood. Banyak lagi masalah selain dari fanatik K-Pop ni wujud dalam Malaysia. Apa yang pasti kesedaran kita pada tanggungjawab untuk diri dan agama sangat penting. Mak ayah kita pun tak larat nak tegur. Kita kena sedar sendiri lah kan.
Sebenarnya macam ni lah, semua orang ada melakukan kesalahan. Termasuk saya sendiri. Banyak dosa pada Allah Taa'la (Nanges). Jadi saya rasa semuanya berbalik pada diri sendiri. Bagaimana nak selamatkan diri kita sebab dunia pun dah tak larat dah. Sampai masa kita kembali padaNya. Gunakan kesempatan yang ada untuk sebarkan yang baik-baik. Saya melihat usaha dakwah di laman sosial pun bertambah. Alhamdulillah. Tapi masalah kita ada yang suka menghentam sesama sendiri mencari salah orang itu dan orang ini sedangkan aib sendiri tak terjaga lagi. Tak perlulah terus salah menyalahkan. Mari muhasabah, rehat dan pandang diri.
"Apa-apa yang mendekatkan kita dengan Allah tak best nak buat, dan apa-apa yang menjauhkan kita dari Allah sungguh seronok dan beronok-ronok nak sertai. Melainkan bagi mereka yang beriman kepada Allah Taa'la dan beramal soleh, pasti merasa manisnya untuk terus beribadah."
Saya mohon maaf andai ada salah berkongsi ilmu dan kalau ada melukakan hati sesiapa maafkanlah saya. Sekian dari saya. Sebarang komen, pendapat, rasa tidak puas hati sila tinggalkan di ruangan bawah.
Wallahualam Bissawab
AutoTagged "Copyright Blog Asyraf Khalib © All Rights Reserved by Mohammad Asyraf 2012 | 2013" : Copyright Malaysia LinkedSegala masalah yang dihadapi hasil pembacaan mana-mana entri yang terdapat dalam blog ini adalah dibawah tanggungjawab pihak pembaca sendiri, Terima Kasih.
No comments:
Post a Comment