Showing posts with label Halal Haram. Show all posts
Showing posts with label Halal Haram. Show all posts

Monday, October 20, 2014

Saya mahu pegang Anjing. Anjingkah saya?


anjing_jilat


Memang benar, siapalah kita untuk jadi hakim. Siapalah kita untuk tentukan halal haram dan siapalah kita mahu mempertikaikan perkara yang dilaung-laungkan ramai orang sebagai 'amalan baik' dan mesra dengan binatang.

Namun, sebagai seorang Islam, sebagai hamba yang beriman, yakin dan taat pada Tuhannya yakni Allah SWT. Bila mana wujud perbezaan pendapat dalam kalangan ulama tentang sesuatu isu itu. Maka, kita yang telah menerima tempias 'was-was' perlulah mengambil pendekatan yang baik dalam membuat keputusan. Bukannya berbalah bagai orang kurang waras.

Secara peribadi, meneliti tentang isu kempen memegang anjing ini, pertamanya masyarakat kita perlu sedar bahawa kempen sebegini sebenarnya telah mengoncang suatu sudut pandang sensitif dalam konteks agama. Sedia maklum, majoriti penduduk yang menghuni Malaysia ialah umat Islam. Sekian lama umat Islam di negara kita dimomokkan dengan hukum memegang anjing adalah haram, walaupun dalam Islam ada syarat yang masih membenarkannya dalam beberapa keadaan tertentu. 

Saya cuba berada di tempat mereka yang sudah sekian lama faham bahawa menyentuh anjing itu adalah haram. Pastinya kempen ini sedikit mengejutkan mereka. Yalah, semua ini membuatkan mereka bertambah keliru. Tiada siapakah yang mahu menjelaskannya? Justeru, ada pendekatan yang lebih baik perlu difikirkan sebelum kempen ini dilaksanakan.

Hukum Memegang Anjing

Menyentuh anjing yang kering mendapat sepakat ulama bahawa ia tidak najis. Namun, perlu diingat bahawa kering itu dalam konteks yang bagaimana. Yakinkah kita tangan kita tanpa butiran peluh-peluh kecil? atau yakinkah kita bulu anjing kering tanpa liurnya?
Memang wujud khilaf dalam kalangan ulama mazhab-mazhab dalam bab tubuh anjing itu najis mughallazah atau tidak. Secara ringkasnya, dalam mazhab syafie menyatakan seluruh tubuh anjing adalah najis mughallazah yakni najis berat (Imam nawawi, Mughni Al-Muhtaj, Khatib Syarbini), selain mazhab syafie (yakni mazhab hanbali, maliki, hanafi) menyatakan hanya air liurnya sahaja najis. Ini berdasarkan hadis:

“Sucinya bejana (bekas) salah seorang daripada kamu yang dijilati anjing adalah dengan dibasuh bejana itu tujuh kali dengan air dan pada basuhan pertama dicampur dengan tanah.” 
[Hadis Riwayat Muslim, Abu Daud dan Ahmad]

Jadi, hukum menyentuh anjing memang ada khilaf. Yang pasti, adalah haram jika dengan SENGAJA menyentuh sesuatu yang akan menyebabkan perpindahan najis ke atas tubuh kita. Maka, menyentuh anjing dalam keadaan anjing itu atau tubuh kita sendiri yang basah/lembap/berair, maka haramlah menurut mazhab Syafie kerana najis boleh berpindah.
Kenapa seluruh tubuhnya dianggap najis berat menurut mazhab syafie? Kerana pastinya anjing membersihkan dirinya dengan menjilat. Maka kemungkinan besar air liurnya ada di tubuhnya.
Dalam program kempen menyentuh anjing yang tersebut, adakah peserta dan trainer yakin sepenuh jiwa anjing tersebut tidak menjilat tubuhnya? Dan adakah semua mereka yakin benar anjing atau tangan mereka dalam keadaan kering? Jika terlalu yakin, maaf saya cakap, kurang cerdik namanya. Jika berpegang pada "alaaa.. lepas pegang boleh sertu (samak ikut sesetengah pemahaman orang)", ikut hukum fiqh, sengaja meletakkan diri dalam keadaan menyusahkan juga dibenci agama.
Imam Al-Ramli menyatakan (maksudnya): "Meletakkan (atau menyentuh) najis pada anggota badan adalah ianya haram."

                                          Hukum Memelihara Anjing?

Tiada khilaf dan telah ijmak (sepakat) antara semua ulama-ulama muktabar muttaqaddimin dan mutaakhirin bahawa, tidak dibenarkan seorang Islam untuk membela anjing menjadi haiwan belaan, sebagaimana kita bela kucing, yang kita peluk, cium, belai dan sebagainya, KECUALI membela atas 5 sebab yang dibenarkan, iaitu:

i. Untuk menjaga harta
ii. untuk menjaga tanaman
iii. untuk menjaga ternakan
iv. sebagai anjing untuk memburu
v. menjaga keselamatan keluarga

"Nabi SAW bersabda: Barang siapa memelihara anjing bukan untuk menjaga ladang atau ternak, maka setiap hari pahalanya berkurangan satu qirath." 
[Hadis Muttafaq 'Alaih]

Daripada Abdullah bin Umar dia berkata: "Aku mendengar Nabi SAW bersabda: Sesiapa memelihara anjing selain anjing untuk berburu atau anjing menjaga binatang ternak, maka pahalanya akan berkurang dua qirath setiap harinya." 
[Riwayat Bukhari no. 5059 dan Muslim, no: 2940]

Juga daripada Ibnu Umar berkata: "Rasulullah SAW memerintahkan supaya membunuh anjing kecuali anjing untuk berburu atau anjing untuk menjaga kambing atau menjaga haiwan ternak."
[riwayat Muslim no. 1571]

"Barangsiapa memelihara anjing tidak untuk keperluan berburu atau penjagaan (harta/keluarga/diri/ternakan/ternakan), maka pahalanya akan berkurang sebanyak satu qirath bagi setiap hari" 
[Hadis Muttafaq 'Alaih]

Daripada Aisyah r.a beliau berkata: “Telah berjanji Jibril dengan Rasulullah akan datang dalam suatu waktu, pada ketika janji itu telah tiba waktunya, Jibril tidak datang. Di tangan Nabi ada sebatang tongkat, maka baginda buang tongkat itu sambil berkata: “Tuhan dan RasulNya tidak akan menyalahi janji”. Kemudian Nabi melihat ke sebelahnya, maka baginda melihat ada anak anjing di bawah tempat tidurnya. Maka baginda bertanya: “Bila masuknya anjing ini?” Siti Aisyah menjawab: “Saya tidak tahu”. Lalu disuruh usir keluar anjing itu. Setelah anjing itu keluar datanglah Jibril dan Nabi terus bertanya: “Engkau berjanji denganku akan datang dan aku menunggu tetapi engkau tidak datang”. Jawab Jibril: “anjing yang berada di rumahmu yg menghalangi aku, kerana Kami (Malaikat) tidak masuk ke dalam rumah yang ada di dalamnya anjing dan gambar"
[Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim]

Syaratnya:
1) HARAM memelihara anjing di dalam rumah
2) WAJIB memberi makan minumnya
3) HARAM mendera atau mencederakannya
4) HANYA atas 5 sebab di atas sahaja

Peserta-peserta program sudah peluk, sentuh, cium dan belai anjing dengan penuh riangnya. Adakah ia dibenarkan? Tidak sama sekali.

Pendek kata, menyentuh atau memegang anjing tidaklah berdosa atau menyalahi hukum Islam dalam beberapa keadaan sahaja dan kita tidak digalakkan memeliharanya sebagai haiwan peliharaan (pets) di dalam rumah.

Saya Tidak Menyokong Kempen Tersebut

Sejujurnya saya menegah kempen memegang anjing yang dianjurkan oleh pihak penganjur dengan beberapa sebab tertentu. 

Pertamanya, pihak penganjur tidak memberi penjelasan dengan baik kepada seluruh masyarakat khususnya umat Islam tentang hukum menyentuh anjing sedangkan penganjur sendiri sedia maklum bahawa masyarakat Malaysia majoritinya adalah umat Islam dan ramai yang berpegang dengan mazhab Imam As Syafie. Ini sedikit sebanyak telah menimbulkan perbalahan besar sesama umat Islam terutamanya di media sosial kerana telah menganggu sensitiviti agama.

Keduanya, kita tidaklah boleh bertukar mazhab sesuka hati, walaupun amalan berpindah-berpindah mazhab diharuskan oleh ulama. Isu berpindah mazhab dibenarkan dengan syarat tidak berlaku talfiq yang diharamkan (berlaku perkara yang tidak diiktiraf oleh ulama Islam). Apakah yang dimaksudkan dengan talfiq? Talfiq di sini bermaksud diharamkan mengumpulkan atau menghimpunkan pendapat ulama di dalam satu masalah. Jika dihimpunkan dua atau tiga pandangan ulama dalam satu masalah, para pelopor mazhab tidak membenarkan dan tidak diakui oleh mazhab tersebut. Contoh, menghimpunkan cara mengambil wuduk mengikut Mazhab Syafie, Hanbali dan Maliki dalam satu ketika adalah tidak dibenarkan. Contoh lain yang lebih mudah difahami. Bolehkah dalam satu waktu seseorang itu memakai tiga jenis pakaian tradisional iaitu Cina, Melayu dan pakaian Panjabi. Ketiga-tiga pelopor pakaian tradisional tersebut tidak mengiktiraf cara pemakaian baju
tradisional tersebut.

Memahami Mazhab Syafie secara umum adalah suatu kewajipan bagi yang berpegang dengan mazhab tersebut. Adapun isu yang timbul dalam masyarakat Islam masa kini ialah kita tidak mendalami serta memahami sesuatu mazhab itu. Sehingga apabila timbul sesuatu kesulitan, kita terus berpindah ke sesuatu mazhab (Hanafi) contohnya, tanpa memahami dengan lebih mendalam. Akibatnya kita terperangkap dalam kekeliruan dan kejahilan di antara dua mazhab tersebut. Situasi ini tidak dibolehkan sama sekali dalam konteks bermazhab.

Syeikh Abd al-Karim al-Khudayr mengatakan bahawa seseorang itu tidak boleh menukar pendapatnya semata-mata kerana sesuatu pandangan itu menyenangkannya atau memilih sesuatu pandangan kerana rukhsahnya (keringanan) semata-mata. Sebaliknya umat Islam boleh memilih sesuatu pandangan berdasarkan dalilnya yang terbaik di kalangan yang lain atau pandangan yang lebih benar. (Lihat Majmu’ Fatawa, halaman 23).

Ketiganya, tiada keperluan penting pelaksanaan kempen tersebut. Banyak lagi perkara dan isu yang perlu dititikberatkan oleh kita sebagai Muslim tetapi kenapa kempen sebegini pula yang diketengahkan? Saya tidak menolak hukum yang membenarkan kita menyentuh anjing, apa yang saya tolak ialah kempen ini. Tak perlulah sampai dipromosikan ia sebagai suatu festival. Jika tujuan kempen adalah untuk mengurangkan rasa takut Umat Islam pada anjing, adakanlah aktiviti amal seperti program beri makan anjing liar atau yang tengah sakit dan sebagainya. Ia lebih menjurus kepada matlamat sebenar. Ini anjing cantik yang memang disayang-sayang, grooming dipeluk cium. Apa sebenarnya yang mahu dikempenkan?



Tidak Menyokong Kempen Adakah Bermakna Saya dan Islam Membenci Anjing?

Tidak, Islam meraikan anjing dan melarang sama sekali kita menzalimi anjing. Malah, dalam al-Quran Allah menceritakan tentang anjing yang mengiringi para pemuda al-Kahfi dan turut bersama mereka semasa berjuang menghadapi rejim yang zalim pada zaman mereka. Firman Allah: 

“dan engkau sangka mereka sedar, padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri; sedangkan anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua; jika engkau melihat mereka, tentulah engkau akan berpaling melarikan diri dari mereka, dan tentulah engkau akan merasa amat gerun takut kepada mereka.” (Surah al-Kahfi, ayat 18).

Anjing tersebut melambangkan binatang yang bersahabat dengan para pejuang kebenaran. Anjing itu lambang kemuliaan. Sesetengah riwayat yahudi menamakan anjing itu ‘qidmir’.


Kesimpulan


Kesimpulannya, anjing tetap bukanlah haiwan yang wajar dicaci, dihina, dibelasah, dibunuh sewenangnya, dipukul, diseksa atau apa sahaja salah laku. Anjing tetap haiwan yang wajar diberi kasih sayang dan belas ihsan, kerana ia tetap makhluk Allah. Telah ada hadis panjang mengisahkan tentang seorang yang banyak dosa, yang memberi anjing minum, dimasukkan ke syurga kerana pahalanya memberi minum kepada anjing itu. Namun dalam hadis tu tak ada pun kata si pemberi minum tu peluk cium belai anjing tu. Cukup sekadar memberi keperluan kepada anjing kita dah dapat pahala.

Dalam isu ini, analogi mudah yang saya boleh beri beginilah, kita tahu aurat seorang ibu dengan anak lelakinya ialah pusat hingga lutut. Namun ini bukan bermakna seorang ibu itu boleh berlenggang hadapan anak lelakinya di dalam rumah tanpa baju. 

Suami dihalalkan mencium tubuh isterinya tetapi bukan bermakna ia boleh dibuat di pentas keramaian.

Aurat lelaki di dalam solat ialah pusat hingga lutut, tetapi ini bukan bermakna imam boleh sesuka hati ikat kain pelikat dan mengimamkan solat berjemaah tanpa baju.

Hidup bukan semata hukum boleh tak boleh, haram tak haram, tetapi ada namanya maslahat, kaedah, adab, adat resam, mazhab amalan setempat, budaya, sensitiviti, tatasusila dan banyak lagi yang diambil dihitung kira.

Sekian, Wallahualam Bissawab.



"Copyright Blog Asyraf Khalib © All Rights Reserved by Mohammad Asyraf 2012 - 2014"

No part of this article may be reproduce without Asyraf's express consent.
The author is not liable for any loss or damage incurred while using the information from this blog. Thank you

Friday, September 5, 2014

Sebab Freshie Benci Minggu Haluan Siswa


Bismillahirrahmanirrahim

Minggu haluan siswa atau minggu orientasi atau nama program lain yang berkenaan adalah salah satu minggu di mana pelajar baru yang melangkah masuk ke universiti diwajibkan mengikuti program dikendalikan oleh pelajar senior dengan tujuan memberi pendedahan kepada pelajar baru (freshie) akan kehidupan yang lebih osem dan sedikit berbeza di kampus berbanding sekolah.

Namun, sejauh mana program yang diberi nama "Minggu Haluan Siswa" ini memberi pulangan baik kepada pelajar baru tersebut? Itu yang harus sama-sama kita fikirkan. Ini kerana, akhir ini pelajar lebih mudah untuk menyuarakan pendapat mereka melalui laman sosial. Dan nampaknya lebih banyak respons balas yang negatif diterima. Maka, kemungkinan besar Minggu Haluan Siswa tersebut sudah boleh dikategorikan sebagai program yang GAGAL.

Justeru itu, artikel kali ini akan membincangkan serba sedikit tentang punca utama freshie benci snagat dengan penganjuran Minggu Haluan Siswa. Berdasarkan pengalaman saya sebagai mahasiswa di Universiti selama lebih kurang 3 tahun, berikut adalah beberapa sebab yang dapat saya senaraikan.

1. Tidak Islamik

Bagi pelajar Muslim, pasti alasan ini antara sebab utama mereka tidak selesa malah tidak berpuas hati dengan penganjuran Minggu Haluan Siswa. Pelajar lelaki dan wanita bukan mahram diarahkan berada dalam satu kumpulan tanpa mengenal batas pergaulan. Malah ada aktiviti berkumpulan yang memerlukan mereka bersentuhan dengan alasan klise wonder pets "kerjasama". Justeru itu, saranan 20 sen daripada saya, program ini haruslah dikaji semula oleh pihak universiti khususnya supaya aktiviti yang dicadangkan dalam Minggu Haluan Siswa memberi faedah baik di universiti dunia, juga di universiti akhirat kelak. Ingat, kalau Allah tak redha dengan apa kita buat, pasti hasilnya tidak baik.

2. Terlalu ramai fasilitator berleter/bertempik/menjerit/melolong bagai kena sampuk. Ini bukan kem Tentera.

Apa pun alasannya, saya pasti pelajar yang diterima masuk ke Universiti adalah antara yang terpilih. Fasi/senior yang bertanggungjawab menguruskan program sebaiknya belajar berkomunikasi dengan lebih baik. Kadang ada perkara yang saya rasa tak perlu menjerit pun, disampaikan dalam nada yang tinggi. Tindakan sebegini pastinya mengundang sedikit sebanyak pandangan negatif pada pelajar baru tentang akhlak senior. Mungkin di mulut masing-masing berkata suka. Namun, di hati siapa yang tahu. 
Saya tidak bermaksud untuk mengatakan cara menjerit/melolong itu beri kesan buruk yang melampau kepada si penerima maklumat. Saya akui, ada baiknya juga. Namun, ia dilihat kurang sesuai. Malahan, bila ada fasi perempuan yang menjerit-jerit, bukankah ia sesuatu yang memalukan dan tidak masuk akal. 

3. Ceramah/slot/pengisian motivasi dalam satu-satu program membosankan. 

Selama mengikuti Minggu Haluan Siswa, saya dapati terlalu banyak ceramah yang tidak membina jiwa pun. Bukan semua, tetapi beberapa sahaja. Pengisian itu ada, namun hasilnya kosong. Pelajar yang keletihan selepas mengikuti aktiviti lain sebelum ini pastinya akan bertambah mengantuk. Bagai disorong bantal. Dengar ceramah pun sudah ibarat dengar lagu yang mendayu-dayu. Bukankah sepatutnya masa yang ada dengan berhimpunnya pelajar baru dalam satu majlis ilmu itu digunakan sebaiknya? Membazir kalau ceramah 2,3 jam tapi pelajar tak dapat apa. Rugi. Pilihlah topik yang dekat dengan pelajar, kemudian baru selitkan dengan pendekatan agama. Misalnya ajak mahasiswa berbincang tentang isu couple haram, kaedah belajar berkumpulan yang betul dan isu kahwin! haha (itu contoh). Banyak lagi sebenarnya, kreatiflah sikit. Risau motivasi bertukar menjadi roti basi.

4. Aktiviti riadah yang bercampur lelaki perempuan.

Sudahlah pakaian sukan tu jarang, dicampur pula lelaki perempuan. Senior pula ikut sama. Langgar sana sini, gesel-gesel. Awal-awal masuk universiti pun sudah dapat pendedahan yang buruk. Lepastu nanti baru nak sibuk complain junior berdating lah apa.

5. Fasilitator bercakap macam nak bertanding pilihan raya.

Bagai pemimpin politik di pentas, penuh bangga fasilitator/senior mula bicara. Minggu haluan siswa tujuan utamanya nak tunjukkan haluan yang betul tentang kehidupan di kampus kepada pelajar baru. Maka, janganlah rosakkannya, kadang ada perkara yang tak perlu dibicarakan pun dipanjang-panjang. 

6. Buli/Lagak Gangster

Dulu waktu zaman diploma saya dulu, ada lah sekumpulan senior spesis ini. Pernah diterajang perut sewaktu minggu orientasi. Tapi sekarang saya rasa tak ada. Namun jika ada, ini antara satu sebab pelajar benci orientasi.

7. Senior ambil kesempatan mengorat junior comel

Agak memalukan jika mahu jadi fasilitator sebab nak cuci mata atau nak cari jodoh dengan adik-adik muda remaja. Banyak sebenarnya senior yang sebegini rupa, kalau depan pelajar wanita, fuh bergaya tunjuk kehebatannya. Bukan nak jeles atau apa. Awak tu senior universiti, bukan senior di wad pesakit jiwa. Maaf cakap, kadang biro kerohanian pun 2 x 5 gatalnya. Dia dulu lah yang sibuk nak cari tulang rusuk kiri, tulang pinggul, bakal imam, zauj zaujah. Ini bukan masa yang sesuai. Betulkan niat. Jaga akhlak.

8. Waktu Solat Selalu Dilewatkan, Kadang tu..  Harussss terlepas.

Jadual program memang diedarkan awal kepada pelajar, bangun pagi bukan main nak 4 pagi dah kena terpacak. Pagi buta itu jugalah ada ceramah, ada aktiviti burung hantu dan sebagainya. Waktu solat sering dilengah-lengahkan. Kadang punya bijak buat jadual, waktu makan tu jugalah pelajar kena solat. Kadang ada yang tak sempat makan pun, terpaksa berlari tunaikan solat. Bukan apa, takut ditengking biro disiplin, adik-adik ini pun turut arahan. Sayangnya senior pun tak masuk berjemaah bersama. Malu bukan? Bila dipersoalkan tentang pengurusan masa, waktu solat dan sebagainya. Jenis senior pantang tegur nak melenting. Dia sahaja betul, tapi inilah haikat yang kita kena terima.

Kalau hanya dengan alasan dulu waktu kita jadi junior pun kena lalui perkara sama, maka bila jadi senior, ini terus bermakna kita kena buat benda sama? Jika jawapannya, ya. Memang sampai kiamat pun tiada perubahan dan penambahbaikan dalam program ini. Ada waktu kita kena mula buat perubahan dan akui kesalahan. Kaji semula apa yang dirancang. Gelaran zaman jahiliyah moden bukan suatu gelaran biasa. Zaman kian berubah, biar kita pun perlu berubah ke arah yang sepatutnya.

Takutlah dengan Allah. Memang, Minggu Haluan Siswa akan memberikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan bagi pelajar baru. Ya, memang. Tapi pengalaman itu isi baiknya kurang, yang busuknya banyak. Sebagai senior, gunakanlah peluang ini untuk raih redha Allah. Walaupun nama universiti tak Islamik, biarlah sekecil-kecil program di dalamnya penuh pengisian yang mendekatkan kita dengan Allah. Ingat, sudah lengkap tanda-tanda Kiamat Kecil. Maka, peliharalah apa yang sepatutnya.

Jangan seksa jiwa orang yang beriman, ketahuilah dalam kalangan junior baru itu pasti ada yang datang dari keluarga yang didikan agamanya baik. Maka, jangan rosakkannya. Jiwa orang beriman jika diusik dengan perkara yang tidak elok walau sedikit. Dia pasti tidak tenang.

Akhir kalam, saya menyokong terus Minggu Haluan Siswa dilanjutkan sehingga bila-bila, namun lebih tenang jika program ini benar-benar mencapai matlamatnya, bukan habis begitu sahaja.

Wallahualam Bissawab. Maaf segala salah.

"Copyright Blog Asyraf Khalib © All Rights Reserved by Mohammad Asyraf 2012 - 2014"

No part of this article may be reproduce without Asyraf's express consent.
The author is not liable for any loss or damage incurred while using the information from this blog. Thank you

Saturday, January 25, 2014

Boleh tak gabung nama kekasih dengan nama sendiri?

Bismillahirrahmanirrahim.

Asyraf terbaca satu artikel di facebook, tertarik pula dengan statement begitu islamik lagi bergaya tentang trend segelintir remaja kita hari ini yang mana suka menggabung nama kekasih dengan nama mereka di laman sosial. Saya pun tidak tahu apa keperluan sebenarnya mereka berbuat demikian. Tak kurang dengan itu, perbuatan menggabung nama suami dan isteri juga turut dibahaskan dalam artikel yang sama. Setahu saya, artikel tersebut juga sudah pun tersebar melalui beberapa aplikasi di telefon bimbit seperti wechat. Cepat betul penyebarannya. Mungkin ada diantara anda sudah pernah membacanya bukan? Topik yang dibincangkan dalam artikel tersebut pada saya sudah cukup menarik, tetapi malang pula kerana isi dalam artikel tersebut agak mengelirukan malah ada kenyataan yang seolah sengaja direka-reka. Jadi melalui artikel dalam belog saya kali ini, saya akan ulaskan supaya lebih jelas tentang isu berikut berpandukan beberapa rujukan daripada mereka yang lebih arif. 


Perbuatan menggabung nama kekasih dengan nama sendiri?

Kalau anda rujuk artikel mengelirukan di laman sosial yang saya maksudkan di atas tadi, penulis sewenang menyatakan perbuatan menggabung nama kekasih atau nama suami isteri dengan nama sendiri adalah haram dan perbuatan itu seperti berzina (bagi yang belum kahwin).  Jadi, kalau haram makanya sudah berdosa besarlah kan? Katanya perbuatan tersebut haram kerana ia sama seperti pelaku telah menukar nama bapa mereka dibelakang dan menggantikan pula dengan nama teman lelaki. Nama dibelakang itu nama keturunan. Jadi katanya mereka tak mengaku ayah sendiri. Gituu..

Contoh yang diberikan penulis artikel tersebut ialah nama si pelaku tersebut "Afikah" dan nama teman lelakinya "Aiman". Digabung menjadi "Afikah Aiman". Tup, tup terus haram. err??

Eheh, bukan begitu, sebenarnya perbuatan menggabung nama kekasih dengan nama sendiri tidaklah sampai jatuhnya hukum haram yang membawa dosa besar seperti berzina macam yang disebut di atas tadi. Perbuatan gabung nama kekasih ini cuma tidak dituntut syarak. Dan apa-apa perkara yang tidak dituntut dalam Islam, tidak perlulah kita buat. Ada baiknya elakkan perbuatan menggabung nama ini sebab tak elok orang tengok. Lagi-lagi perempuan. Belum berkahwin pula. Romantik? ermm.. saya tak nampak pula gabung nama tu romantik dan sweet. Nampak terhegeh-hegeh ada lah. 


Gabung nama suami isteri macam mana pula?

Perbuatan menggabung nama suami isteri pun sama juga, tidak haram dan dibolehkan. Lagipun masing-masing sudah punya ikatan yang sah. Yang kita risau bagi yang couple tadi. Boleh bawa fitnah juga umpatan. Baiklah, berbalik pada gabung nama suami isteri. Contoh nama isterinya "Azwa" dan nama si suami pula "Kamarul". Bila digabungkan ia menjadi "Azwa Kamarul". Tak ada masalah pun. 

Kadang-kadang di kampung, bila pergi kenduri, kalau tanya orang kampung dengan menyebut nama "Azwa" mereka tidak kenal, tetapi kalau sebut "Azwa Kamarul" baru mereka kenal siapa. Ini kerana barangkali orang kampung lebih rapat dengan suami si Azwa tadi iaitu Kamarul. Jadi orang kampung sinonim dengan nama yang digabung suami isteri. Maka dengan itu, tak adalah perbuatan gabung nama untuk suami isteri ini terus jatuh hukum haram selagi mana tidak melanggar aturan syarak. Jangan senang-senang menghukum itu dan ini. Kesian orang. Islam tidaklah serigid yang disangka yaa..

"Eh Asyraf! ada orang cakap bila letak nama lelaki lain di belakang nama sendiri walaupun nama suami dia jeee, automatik dia tu telah mengaku anak kepada orang lain. So, jadi haram la sebab ada hadis sahih sebut tentang tak boleh mengaku anak kepada orang lain kan?!!". 

Tak juga, penjelasannya tentang hadis tu ada kat bawah nanti.


Habis tu, haramnya bila?

Haramnya bila mana anda menggabungkan nama suami isteri atau kekasih anda dengan meletak perkataan "BIN" atau "BINTI" sebagai penyambung nama tersebut. Contoh nama girlfriend "Afikah" dan nama boyfriend "Aiman". Digabung dengan segaja atau sekadar bergurau menjadi "Afikah Binti Aiman". 

Begitu juga dengan suami isteri, contohnya nama isteri "Azwa" dan nama suaminya "Kamarul". Digabungkan menjadi "Azwa Binti Kamarul". Maka perbuatan ini sama ada dilakukan dengan sengaja atau sekadar untuk bergurau, ianya dilarang kerana kita tidak boleh sewenang menukar nama bapa di belakang dan menggantikannya dengan nama orang lain. Hanya nama ayahnya sahaja khas disitu. Walaupun ia nampak remeh, tetapi Islam memandang hal penamaan nama ini suatu yang penting dan tidak boleh dibuat main.

Sebagaimana yang disebut dalam hadis sahih, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Barang siapa yang mengaku sebagai anak kepada selain bapanya atau menisbatkan dirinya kepada yang bukan walinya, maka baginya laknat ALLAH, malaikat, dan segenap manusia. Pada hari Kiamat nanti, ALLAH tidak akan menerima darinya ibadah yang wajib maupun yang sunnah” (HR. Muslim dlm al-Hajj (3327) dan Tirmidzi)

Takut kan? jadi, berhati-hatilah. Kalau nama anda digabung dengan BIN atau BINTI. Itu sekaligus membawa makna anda telah "mengaku anak kepada" atau "telah mengaku keturunan kepada" nama yang di belakang. 

Menjawab pula soalan yang di atas tadi, 

"Eh Asyraf! ada orang cakap bila letak nama lelaki lain di belakang nama sendiri walaupun nama suami dia jeee, automatik dia tu telah mengaku anak kepada orang lain. So, jadi haram la sebab ada hadis sahih sebut tentang tak boleh mengaku anak kepada orang lain kan?!!". - Soalan

Pada saya jikalau seseorang individu atau seorang isteri itu sekadar menggabung namanya dan suami seperti "Azwa Kamarul" sahaja kerana mereka sudah sinonim dikenali dengan nama tersebut oleh orang sekeliling, maka itu tidak mengapa dan tak ada salahnya. Lagipun macam sekarang, cuba kita gabung nama seperti "Aisyah Amirruddin", nama yang digabung ini tidak terus membawa makna "Aisyah" telah mengaku anak kepada "Amirruddin" macam yang dinyatakan kat atas. Nama itu boleh sahaja jadi "Aisyah dan Amirruddin" atau "Aisyah isteri kepada Amirruddin". Sebenarnya yang penting sekali ialah, saya rasa tidak pernah terlintas bagi seorang isteri tersebut untuk dia mengaku anak kepada suaminya sendiri. Jadi dah jelas kan untuk pertanyaan yang di atas tadi? Boleh kalau nak gabung nama isteri dan suami asalkan tak hegeh-hegeh mengaku suami itu ayahnya pula. Salah dan sangat ditegah. Perkara ini pun telah dijelaskan sendiri oleh Ustaz Azhar Idrus yang penggabungan nama ini dibolehkan. Part yang ini, saya bincang untuk suami isteri yeah, bukan untuk couple, couple.

Kesimpulannya, walaupun tidak haram bagi perbuatan menggabung nama kekasih anda dan perbuatan meletak nama seperti itu di laman sosial pula nampak sweet katanya... janganlah seronok pula ya. Ingat, ia tidak dituntut syarak. Lagipun couple kan haram. Jadi tolonglah malu dan jangan berbangga sebab telah buat perkara yang dilarang agama ni.

Apa-apa perbuatan yang tidak dituntut syarak pasti ada sebab yang tidak elok untuk kita. Jadi sila hentikan dan yang mana dah buat tu, cepat-cepatlah tukar. Letak nama ayah sendiri kan lagi bagus. Biarlah tak best macam mana pun nama tu. Tetap juga nama ayah kita. Paling kurang pun, letak nama penuh sendiri sudah cukup. Kan nama itu doa.

Wallahualam Bissawab

Sila tinggalkan komen untuk rujukan saya, Terima Kasih


Kredit rujukan & ilmu : 
Ustaz Azhar Idrus

Anda mungkin juga meminati artikel berikut :

1. Kerana Engkau Perempuan, dan Aku Lelaki
2. Kenapa Couple Haram?
3. Couple itu Cinta?
4. Kalau tak couple macam mana nak kenal hati budi dia?

AutoTagged "Copyright Blog Asyraf Khalib © All Rights Reserved by Mohammad Asyraf 2012 | 2013" : Copyright Malaysia Linked
Segala masalah yang dihadapi hasil pembacaan mana-mana entri yang terdapat dalam blog ini adalah dibawah tanggungjawab pihak pembaca sendiri, Terima Kasih.

Thursday, January 9, 2014

Apakah hukum bekerja di pasaraya yang jual arak?


"Hai kaumku, berbuatlah sepenuh kemampuanmu,sesungguhnya akupun berbuat (pula). Kelak kamu akan mengetahui, siapakah (diantara kita) yang akan memperoleh hasil yang baik dari dunia ini." (Q.S. Al-An’am : 135)


Bismillahirrahmanirrahim...

Kini sudah menjadi suatu kebiasaan bagi kita anak-anak muda terutama bagi adik-adik lepasan SPM untuk cuba mendapatkan pengalaman bekerja sambilan dipasaraya atau kedai-kedai. Selain mendapat wang poket untuk perbelanjaan harian, sekurangnya waktu cuti tidak terbuang begitu sahaja. Apa pun tahniah sebab rajin! hehe. 

Secara umumnya juga, Allah SWT  telah memerintahkan kita manusia untuk bekerja dan mencari nafkah. Perkara ini adalah suatu amanah kepada manusia untuk mencari rezeki. Namun, ada kalanya kita gagal memahami syariat yang Allah SWT aturkan.

Sebelum itu, mari kita rujuk dalil daripada hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda, terdapat 10 golongan yang dilaknat oleh Allah SWT:

  1. orang yang memerah arak
  2. orang yang diminta arak diperah untuknya
  3. orang yang meminumnya
  4. orang yang membawanya(arak)
  5. orang yang meminta dibawa arak kepadanya
  6. orang yang memberi minum arak kepada orang lain
  7. orang yang menjual arak
  8. orang yang mendapat hasil daripada arak
  9. orang yang membeli arak
  10. orang yang meminta dibelikan arak untuknya.
(Hadis riwayat Ibnu Majjah dan At-Tirmizi)


Berdasarkan hadis yang Asyraf letak di atas, cukup nyata dan jelas bahawa hadis ini memberitahu 10 golongan yang dilaknat Allah hanya disebabkan Arak. Jadi apa lagi yang kita mahu bahaskan?

Saya tidak mahu meletakkan fokus pada kedai 7 Eleven semata-mata. Tapi realitinya, hampir di semua cawangan 7 Eleven ada menjual arak, dan kebanyakan pekerjanya adalah Islam dan yang lebih malang pemiliknya juga beragama Islam. Apa yang lebih memalukan pembeli arak itu juga beragama Islam.  

Saya belajar di Shah Alam selama hampir tiga tahun, dan Alhamdulillah setakat ini 7 Eleven yang saya pergi tidak ada menjual arak. Dan pada saya ini adalah suatu perkara yang bagus dan sangat sukar untuk ditemui. Jadi adakah bekerja di 7 Eleven ini memang haram hukumnya? Sebenarnya tidak kalau pengisian didalamnya tidak ada yang haram.

Jadi sekarang, saya bercakap soal majoriti dan realiti. Lihat sahaja di negeri saya, Kedah sebuah negeri yang baru mula membangun, persoalan halal haram kerja di 7 Eleven masih belum boleh di selesaikan. Hampir di semua kedai adalah pekerja Melayu, dan rata-ratanya menjual arak. Pun begitu saya tidak nafikan ada juga kedai 7 Eleven di Kedah ini tidak menjual arak.

Apa pula hukum bekerja di stesyen minyak yang jual arak?

Jawapannya, tidak kira di mana jua tempat yang anda nyatakan, asalkan ianya melibatkan suatu transaksi arak, maka ianya adalah haram. Walaupun di tempat anda bekerja ada dua cashier, anda beragama Islam dan seorang lagi bukan beragama Islam. Lalu seorang pelanggan datang membeli arak, dan urusan jual beli dilakukan oleh cashier yang bukan beragama Islam. Anda langsung tidak terlibat dengan urusan jual beli itu. Tetapi adakah itu beerti anda selamat daripada 10 golongan yang dinyatakan dalam hadis di atas? Adakah anda terlepas daripada golongan yang ke 8? Kalau ada dalil menyatakan anda terlepas dari golongan-golongan yang tersebut. Sila nyatakan pada saya. Saya juga mahu belajar. Sesugguhnya ini bukan perkara yang syubhah (kesamaran) tetapi telah jelas haramnya. Bertaubatlah dan tinggalkanlah pekerjaan-pekerjaan seperti ini. Allah itu Maha Pemurah dan Maha Kaya, terlalu banyak punca-punca rezeki halal yang Allah berikan, tetapi kenapa mesti kita mencari rezeki yang haram dan banyak keraguannya? Banyak lagi stesen minyak yang tidak menjual arak, jadi apa lagi alasan anda untuk terus berada disitu. 

Sekarang, kita beralih pula kepada hukum bekerja di Pasaraya Besar, seperti Tesco misalnya. Baru sekejap tadi saya terima mesej melalui wechat dari seorang saudari ini yang mana lepasan SPM. Dia bertanyakan tentang hukum bekerja di Tesco kerana ada menjual arak.

Di sini saya harap para pembaca dapat faham betul-betul apa yang cuba saya sampaikan. Secara umumnya, di mana-mana cawangan Tesco dan pasaraya besar ada menjual arak. Walaubagaimanapun, dalam konteks 10 golongan yang disebutkan dalam hadis di atas, ada kelepasan kepada mereka yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, juru teknik, promoter baju, makanan halal dan alatan-alatan permainan serta lain-lain pekerjaan selain daripada yang terlibat dalam pembelian dan penjualan arak. 

Kebiasaannya di mana-mana pasaraya besar, mereka menyediakan suatu ruangan khas bagi menempatkan minuman-minuman tidak halal ini pada suatu gerai, bilik atau sudut yang lain. Memang di kawasan itu adalah hanya untuk pembelian arak semata-mata dan sejenis dengannya. Di situ juga terdapat cashier (juruwang) serta ruangan khas untuk transaksi jual beli minuman-minuman keras ini. Jadi di pasaraya besar, mereka memisahkan ruang transaksi makanan halal dan haram. Dalam konteks ini, sesiapa yang bekerja sebagai cashier di ruang transaksi makanan halal adalah HALAL pekerjaannya. Namun, bagi orang Islam yang bekerja sebagai cashier di ruang jualan minuman dan makanan haram dalah HARAM hukumnya. Jelas?

Baiklah, di pasaraya besar, jenis pekerjaan dan keperluannya terlalu banyak, maka, kita tidak boleh terus menghukum mereka yang bekerja sebagai promoter adalah makan gaji haram, kita juga tidak boleh menghukum dan terus melabel mereka yang bekerja sebagai juru teknik elektrik adalah haram. Kerana pekerjaan ini melibatkan suatu kepentingan yang lebih besar untuk perkara yang baik dan bukannya untuk jualan arak tersebut. Mereka juga tidak mendapat hasil daripada arak. Maka, mereka tidak tergolong dalam golongan yang dilaknat Allah. Kecuali pengawal keselamatan yang menjaga keluar dan masuk arak ke dalam pasaraya, maka pekerjaan ini adalah tergolong dalam golongan yang membantu dalam pejualan arak dan menanggung dosa yang sama seperti si peminum arak. Pun begitu ada juga pendapat yang menyatakan kalau bekerja dalam pasaraya besar yang ada menjual arak, walaupun kita tidak terlibat secara langsung dalam penjualan tersebut, gaji yang diperoleh tetap termasuk dalam bab syubah (kesamaran) antara halal dan haram sebabnya barangkali wang jualan arak itu sendiri telah dipusing menjadi duit gaji pekerja. 

Dan pembaca juga harus ingat, sekiranya di pasaraya tersebut, tidak memisahkan ruang transaksi jual beli arak dengan ruang transaksi jual beli barangan lain di suatu gerai yang lain, maka hukumnya sama seperti bekerja di 7 Eleven dan Stesen minyak yang ada menjual arak. Hukumnya tetap haram.

Kesimpulannya, selaku orang yang beragama Islam, kita tidak boleh sama sekali memandang remeh perkara halal dan haram ini. Dalam hati manusia ini ada seketul daging, kalau baik dagingnya, maka baiklah jiwanya, kalau buruk dagingnya, maka rosaklah jiwanya. Saya sendiri sebelum ini pernah memohon pekerjaan sambilan di pasaraya besar. Hampir sebulan bekerja dengan baik di ruangan alat tulis, akhirnya terpaksa menolak perkerjaan tersebut selepas majikan mengarahkan saya untuk dipindahkan ke ruangan yang lain dan gaji saya dinaikkan dua kali ganda. Rupa-rupanya saya perlu mengangkat kotak berisi arak ke ruangan minuman keras. Walaupun cuma kerja mengangkat kotak, tak tenang hati ini. Terpaksa menolak sepenuhnya pekerjaan tersebut dan tidak mengambil apa-apa upah kerana khuatir membawa pulang wang haram.

Nasihat saya kepada yang ingin mendapatkan kerja, pertamanya cubalah sehabis daya mencari kerja di tempat yang langsung tiada hubung kait dengan arak atau penjualan produk yang tidak halal. Bila tidak diterima bekerja atau memang tiada sangat kerja di tempat yang tersebut. Barulah beralih ke pasaraya seperti Tesco. Itupun pastikan kerja di ruangan yang halal dan anda tidak terlibat langsung dengan aktiviti di bahagian minuman keras. Walaupun kerjanya cuma perlu sapu sampah di bilik minuman keras. Sila elakkan. 

Sahabat pembaca, Islam ini agamanya sangat suci dan murni, janganlah kita mensia siakan nikmat yang Allah kurniakan kepada kita sebagai insan yang bergelar Islam. Mudah-mudahan, rezeki yang baik mengalir dalam tubuh kita, keluarga dan anak2 kita insyaAllah.

Yang halal itu sudah jelas dan yang haram pun sudah jelas; dan di antara keduanya ada hal-hal yang musytabihat (syubhat, samar-samar, tidak jelas halal haramnya), kebanyakan manusia tidak mengetahui hukumnya. Barangsiapa hati-hati dari perkara syubhat, sungguh ia telah menyelamatkan agama dan harga dirinya (H.R. Muslim) 

Tinggalkan sebarang komen untuk rujukan saya.
Sekian.

Wallahualam Bissawab



AutoTagged "Copyright Blog Asyraf Khalib © All Rights Reserved by Mohammad Asyraf 2012 | 2013" : Copyright Malaysia Linked
Segala masalah yang dihadapi hasil pembacaan mana-mana entri yang terdapat dalam blog ini adalah dibawah tanggungjawab pihak pembaca sendiri, Terima Kasih.