Showing posts with label Pets. Show all posts
Showing posts with label Pets. Show all posts

Monday, October 20, 2014

Saya mahu pegang Anjing. Anjingkah saya?


anjing_jilat


Memang benar, siapalah kita untuk jadi hakim. Siapalah kita untuk tentukan halal haram dan siapalah kita mahu mempertikaikan perkara yang dilaung-laungkan ramai orang sebagai 'amalan baik' dan mesra dengan binatang.

Namun, sebagai seorang Islam, sebagai hamba yang beriman, yakin dan taat pada Tuhannya yakni Allah SWT. Bila mana wujud perbezaan pendapat dalam kalangan ulama tentang sesuatu isu itu. Maka, kita yang telah menerima tempias 'was-was' perlulah mengambil pendekatan yang baik dalam membuat keputusan. Bukannya berbalah bagai orang kurang waras.

Secara peribadi, meneliti tentang isu kempen memegang anjing ini, pertamanya masyarakat kita perlu sedar bahawa kempen sebegini sebenarnya telah mengoncang suatu sudut pandang sensitif dalam konteks agama. Sedia maklum, majoriti penduduk yang menghuni Malaysia ialah umat Islam. Sekian lama umat Islam di negara kita dimomokkan dengan hukum memegang anjing adalah haram, walaupun dalam Islam ada syarat yang masih membenarkannya dalam beberapa keadaan tertentu. 

Saya cuba berada di tempat mereka yang sudah sekian lama faham bahawa menyentuh anjing itu adalah haram. Pastinya kempen ini sedikit mengejutkan mereka. Yalah, semua ini membuatkan mereka bertambah keliru. Tiada siapakah yang mahu menjelaskannya? Justeru, ada pendekatan yang lebih baik perlu difikirkan sebelum kempen ini dilaksanakan.

Hukum Memegang Anjing

Menyentuh anjing yang kering mendapat sepakat ulama bahawa ia tidak najis. Namun, perlu diingat bahawa kering itu dalam konteks yang bagaimana. Yakinkah kita tangan kita tanpa butiran peluh-peluh kecil? atau yakinkah kita bulu anjing kering tanpa liurnya?
Memang wujud khilaf dalam kalangan ulama mazhab-mazhab dalam bab tubuh anjing itu najis mughallazah atau tidak. Secara ringkasnya, dalam mazhab syafie menyatakan seluruh tubuh anjing adalah najis mughallazah yakni najis berat (Imam nawawi, Mughni Al-Muhtaj, Khatib Syarbini), selain mazhab syafie (yakni mazhab hanbali, maliki, hanafi) menyatakan hanya air liurnya sahaja najis. Ini berdasarkan hadis:

“Sucinya bejana (bekas) salah seorang daripada kamu yang dijilati anjing adalah dengan dibasuh bejana itu tujuh kali dengan air dan pada basuhan pertama dicampur dengan tanah.” 
[Hadis Riwayat Muslim, Abu Daud dan Ahmad]

Jadi, hukum menyentuh anjing memang ada khilaf. Yang pasti, adalah haram jika dengan SENGAJA menyentuh sesuatu yang akan menyebabkan perpindahan najis ke atas tubuh kita. Maka, menyentuh anjing dalam keadaan anjing itu atau tubuh kita sendiri yang basah/lembap/berair, maka haramlah menurut mazhab Syafie kerana najis boleh berpindah.
Kenapa seluruh tubuhnya dianggap najis berat menurut mazhab syafie? Kerana pastinya anjing membersihkan dirinya dengan menjilat. Maka kemungkinan besar air liurnya ada di tubuhnya.
Dalam program kempen menyentuh anjing yang tersebut, adakah peserta dan trainer yakin sepenuh jiwa anjing tersebut tidak menjilat tubuhnya? Dan adakah semua mereka yakin benar anjing atau tangan mereka dalam keadaan kering? Jika terlalu yakin, maaf saya cakap, kurang cerdik namanya. Jika berpegang pada "alaaa.. lepas pegang boleh sertu (samak ikut sesetengah pemahaman orang)", ikut hukum fiqh, sengaja meletakkan diri dalam keadaan menyusahkan juga dibenci agama.
Imam Al-Ramli menyatakan (maksudnya): "Meletakkan (atau menyentuh) najis pada anggota badan adalah ianya haram."

                                          Hukum Memelihara Anjing?

Tiada khilaf dan telah ijmak (sepakat) antara semua ulama-ulama muktabar muttaqaddimin dan mutaakhirin bahawa, tidak dibenarkan seorang Islam untuk membela anjing menjadi haiwan belaan, sebagaimana kita bela kucing, yang kita peluk, cium, belai dan sebagainya, KECUALI membela atas 5 sebab yang dibenarkan, iaitu:

i. Untuk menjaga harta
ii. untuk menjaga tanaman
iii. untuk menjaga ternakan
iv. sebagai anjing untuk memburu
v. menjaga keselamatan keluarga

"Nabi SAW bersabda: Barang siapa memelihara anjing bukan untuk menjaga ladang atau ternak, maka setiap hari pahalanya berkurangan satu qirath." 
[Hadis Muttafaq 'Alaih]

Daripada Abdullah bin Umar dia berkata: "Aku mendengar Nabi SAW bersabda: Sesiapa memelihara anjing selain anjing untuk berburu atau anjing menjaga binatang ternak, maka pahalanya akan berkurang dua qirath setiap harinya." 
[Riwayat Bukhari no. 5059 dan Muslim, no: 2940]

Juga daripada Ibnu Umar berkata: "Rasulullah SAW memerintahkan supaya membunuh anjing kecuali anjing untuk berburu atau anjing untuk menjaga kambing atau menjaga haiwan ternak."
[riwayat Muslim no. 1571]

"Barangsiapa memelihara anjing tidak untuk keperluan berburu atau penjagaan (harta/keluarga/diri/ternakan/ternakan), maka pahalanya akan berkurang sebanyak satu qirath bagi setiap hari" 
[Hadis Muttafaq 'Alaih]

Daripada Aisyah r.a beliau berkata: “Telah berjanji Jibril dengan Rasulullah akan datang dalam suatu waktu, pada ketika janji itu telah tiba waktunya, Jibril tidak datang. Di tangan Nabi ada sebatang tongkat, maka baginda buang tongkat itu sambil berkata: “Tuhan dan RasulNya tidak akan menyalahi janji”. Kemudian Nabi melihat ke sebelahnya, maka baginda melihat ada anak anjing di bawah tempat tidurnya. Maka baginda bertanya: “Bila masuknya anjing ini?” Siti Aisyah menjawab: “Saya tidak tahu”. Lalu disuruh usir keluar anjing itu. Setelah anjing itu keluar datanglah Jibril dan Nabi terus bertanya: “Engkau berjanji denganku akan datang dan aku menunggu tetapi engkau tidak datang”. Jawab Jibril: “anjing yang berada di rumahmu yg menghalangi aku, kerana Kami (Malaikat) tidak masuk ke dalam rumah yang ada di dalamnya anjing dan gambar"
[Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim]

Syaratnya:
1) HARAM memelihara anjing di dalam rumah
2) WAJIB memberi makan minumnya
3) HARAM mendera atau mencederakannya
4) HANYA atas 5 sebab di atas sahaja

Peserta-peserta program sudah peluk, sentuh, cium dan belai anjing dengan penuh riangnya. Adakah ia dibenarkan? Tidak sama sekali.

Pendek kata, menyentuh atau memegang anjing tidaklah berdosa atau menyalahi hukum Islam dalam beberapa keadaan sahaja dan kita tidak digalakkan memeliharanya sebagai haiwan peliharaan (pets) di dalam rumah.

Saya Tidak Menyokong Kempen Tersebut

Sejujurnya saya menegah kempen memegang anjing yang dianjurkan oleh pihak penganjur dengan beberapa sebab tertentu. 

Pertamanya, pihak penganjur tidak memberi penjelasan dengan baik kepada seluruh masyarakat khususnya umat Islam tentang hukum menyentuh anjing sedangkan penganjur sendiri sedia maklum bahawa masyarakat Malaysia majoritinya adalah umat Islam dan ramai yang berpegang dengan mazhab Imam As Syafie. Ini sedikit sebanyak telah menimbulkan perbalahan besar sesama umat Islam terutamanya di media sosial kerana telah menganggu sensitiviti agama.

Keduanya, kita tidaklah boleh bertukar mazhab sesuka hati, walaupun amalan berpindah-berpindah mazhab diharuskan oleh ulama. Isu berpindah mazhab dibenarkan dengan syarat tidak berlaku talfiq yang diharamkan (berlaku perkara yang tidak diiktiraf oleh ulama Islam). Apakah yang dimaksudkan dengan talfiq? Talfiq di sini bermaksud diharamkan mengumpulkan atau menghimpunkan pendapat ulama di dalam satu masalah. Jika dihimpunkan dua atau tiga pandangan ulama dalam satu masalah, para pelopor mazhab tidak membenarkan dan tidak diakui oleh mazhab tersebut. Contoh, menghimpunkan cara mengambil wuduk mengikut Mazhab Syafie, Hanbali dan Maliki dalam satu ketika adalah tidak dibenarkan. Contoh lain yang lebih mudah difahami. Bolehkah dalam satu waktu seseorang itu memakai tiga jenis pakaian tradisional iaitu Cina, Melayu dan pakaian Panjabi. Ketiga-tiga pelopor pakaian tradisional tersebut tidak mengiktiraf cara pemakaian baju
tradisional tersebut.

Memahami Mazhab Syafie secara umum adalah suatu kewajipan bagi yang berpegang dengan mazhab tersebut. Adapun isu yang timbul dalam masyarakat Islam masa kini ialah kita tidak mendalami serta memahami sesuatu mazhab itu. Sehingga apabila timbul sesuatu kesulitan, kita terus berpindah ke sesuatu mazhab (Hanafi) contohnya, tanpa memahami dengan lebih mendalam. Akibatnya kita terperangkap dalam kekeliruan dan kejahilan di antara dua mazhab tersebut. Situasi ini tidak dibolehkan sama sekali dalam konteks bermazhab.

Syeikh Abd al-Karim al-Khudayr mengatakan bahawa seseorang itu tidak boleh menukar pendapatnya semata-mata kerana sesuatu pandangan itu menyenangkannya atau memilih sesuatu pandangan kerana rukhsahnya (keringanan) semata-mata. Sebaliknya umat Islam boleh memilih sesuatu pandangan berdasarkan dalilnya yang terbaik di kalangan yang lain atau pandangan yang lebih benar. (Lihat Majmu’ Fatawa, halaman 23).

Ketiganya, tiada keperluan penting pelaksanaan kempen tersebut. Banyak lagi perkara dan isu yang perlu dititikberatkan oleh kita sebagai Muslim tetapi kenapa kempen sebegini pula yang diketengahkan? Saya tidak menolak hukum yang membenarkan kita menyentuh anjing, apa yang saya tolak ialah kempen ini. Tak perlulah sampai dipromosikan ia sebagai suatu festival. Jika tujuan kempen adalah untuk mengurangkan rasa takut Umat Islam pada anjing, adakanlah aktiviti amal seperti program beri makan anjing liar atau yang tengah sakit dan sebagainya. Ia lebih menjurus kepada matlamat sebenar. Ini anjing cantik yang memang disayang-sayang, grooming dipeluk cium. Apa sebenarnya yang mahu dikempenkan?



Tidak Menyokong Kempen Adakah Bermakna Saya dan Islam Membenci Anjing?

Tidak, Islam meraikan anjing dan melarang sama sekali kita menzalimi anjing. Malah, dalam al-Quran Allah menceritakan tentang anjing yang mengiringi para pemuda al-Kahfi dan turut bersama mereka semasa berjuang menghadapi rejim yang zalim pada zaman mereka. Firman Allah: 

“dan engkau sangka mereka sedar, padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri; sedangkan anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua; jika engkau melihat mereka, tentulah engkau akan berpaling melarikan diri dari mereka, dan tentulah engkau akan merasa amat gerun takut kepada mereka.” (Surah al-Kahfi, ayat 18).

Anjing tersebut melambangkan binatang yang bersahabat dengan para pejuang kebenaran. Anjing itu lambang kemuliaan. Sesetengah riwayat yahudi menamakan anjing itu ‘qidmir’.


Kesimpulan


Kesimpulannya, anjing tetap bukanlah haiwan yang wajar dicaci, dihina, dibelasah, dibunuh sewenangnya, dipukul, diseksa atau apa sahaja salah laku. Anjing tetap haiwan yang wajar diberi kasih sayang dan belas ihsan, kerana ia tetap makhluk Allah. Telah ada hadis panjang mengisahkan tentang seorang yang banyak dosa, yang memberi anjing minum, dimasukkan ke syurga kerana pahalanya memberi minum kepada anjing itu. Namun dalam hadis tu tak ada pun kata si pemberi minum tu peluk cium belai anjing tu. Cukup sekadar memberi keperluan kepada anjing kita dah dapat pahala.

Dalam isu ini, analogi mudah yang saya boleh beri beginilah, kita tahu aurat seorang ibu dengan anak lelakinya ialah pusat hingga lutut. Namun ini bukan bermakna seorang ibu itu boleh berlenggang hadapan anak lelakinya di dalam rumah tanpa baju. 

Suami dihalalkan mencium tubuh isterinya tetapi bukan bermakna ia boleh dibuat di pentas keramaian.

Aurat lelaki di dalam solat ialah pusat hingga lutut, tetapi ini bukan bermakna imam boleh sesuka hati ikat kain pelikat dan mengimamkan solat berjemaah tanpa baju.

Hidup bukan semata hukum boleh tak boleh, haram tak haram, tetapi ada namanya maslahat, kaedah, adab, adat resam, mazhab amalan setempat, budaya, sensitiviti, tatasusila dan banyak lagi yang diambil dihitung kira.

Sekian, Wallahualam Bissawab.



"Copyright Blog Asyraf Khalib © All Rights Reserved by Mohammad Asyraf 2012 - 2014"

No part of this article may be reproduce without Asyraf's express consent.
The author is not liable for any loss or damage incurred while using the information from this blog. Thank you

Tuesday, January 28, 2014

Sayang Encik Meow





Eh! Dia ajak main sembunyi-sembunyi..
Bismillahirrahmanirrahim...

Amaran  Artikel ini tidak sesuai untuk dibaca bagi mereka yang tak suka 
Meow Meow 


Selesai solat Isyak, seperti biasa aku luangkan sedikit masa untuk membaca beberapa artikel blog rakan-rakan blogger. Sengaja nak buat mata ini supaya lekas letih dek merenung monitor komputer riba di tengah malam.

Rubah, kucing paling senior dalam rumah aku awal-awal lagi dah pun mengambil tempat di katil. Seperti biasa selimut oren dan bantal hijau (ada gambar ikan Nemo) jadi pilihan untuk dia hempaskan badannya yang agak besar. (Ya, si Rubah kongsi katil dengan aku). Nyata malam ini dia berkeras tidak mahu lelapkan mata selagi lampu bilik tidak dipadamkan untuknya. Ada saja gelagat dibuat untuk cuba menarik perhatian aku. Aku malas untuk memandang. Hiraukan saja dia. Sampaikan sengaja dia berjalan selamba atas komputer riba tanda protes! Jadi, terpaksalah tutup lampu untuk biarkan si gemuk itu tidur dan tak ganggu aku.

Rubah (grooming dulu sebelum tidur)
Al-maklumlah, bila lampu sudah padam, aku pun matikan komputer riba dan bergegas ke bilik mandi (cuci muka, whuduk). Malam ni terasa nak lelapkan mata lebih awal dari biasa. Haa.. Bila bilik dah gelap, Encik Rubah automatik mendapatkan kedudukan lebih selesa untuk mimpi indahnya (agaknya mimpi makan whiskas dengan limpahan sos ikan! hehe). Sementara aku tunggu nak lelap mata, sengaja aku ganggu Encik Rubah yang selesa dengan posisi mengiringnya. Ditepuk-tepuk perut si gemuk ini macam gendang. Walaupun agak cerewet kucing aku yang ini, tapi dia budak baik. Selalu faham aku. Macam biasa, setiap malam Encik Rubah akan sondol kepala di bahu aku minta diusap kepala. Layankan saja sebab selalunya time usap kepala dia ni, aku pun akan sama belayar dalam bahtera mimpi.

Jam 2.17 pagi

Terjaga. Encik Rubah bising lagaknya macam kucing gila. Geram sangat. Dipijaknya pula lengan kanan aku dengan kedua kaki depan dia. Seramlah jugak bila tengah-tengah malam macam ni mata Encik Rubah terbeliak bulat pandang aku bukan main lagi. 

       'nak apa budak sekor ni!' 

Berulang kali Encik Rubah naik turun katil dan berlari ke pintu. Jadi waktu tu aku cuma fikir Rubah nak buang "poo poo" (buang air) dan minta buka kan pintu. Tapi selalunya time Subuh baru dia nak buang hajat pun. Ini awal sangat. Hmm.. Aku turutkan saja, risau nanti katil aku jadi toilet.

Bila buka saja pintu bilik, terus nampak pulak Lucy dan Louis baring tepat depan pintu dengan muka comel dan perut bulat kekenyangan. Nasiblah aku tak pijak. Encik Rubah tiba-tiba dengan penuh gaya jemput budak berdua tu masuk. Lah... aku ingatkan nak pergi 'tunaikan hajat' tadi. Rupanya minta aku buka pintu sebab nak ajak dua ekor ni masuk. Entahlah, malam ni aku rasa ketiga-tiganya berperangai pelik.

 

Lucy dan Louis selalunya tidur di tingkat bawah rumah (ruang tamu), Encik Rubah sekor ni saja yang sibuk nak tidur kat bilik. Lofa pula lebih selesa di luar rumah. Dia tu memang tak nak masuk rumah bila malam. Mungkin sebab terbiasa. Lofa tu stray cat yang Asyraf pernah cerita kudung kaki kanan. Lofa tak suka bergaul dengan kucing lain. Biasalah kucing jalanan, sementara nak biasakan diri sebagai kucing peliharaan. Hidup sebumbung dengan manusia. Jadi aku biarkan Lofa buat pilihan. Supaya dia tak takut.

Okay sambung, alang-alang Rubah dah kejutkan aku bangun tengah malam. Aku bentangkan sejadah dan turun ke bilik mandi untuk segarkan badan dengan whuduk. (Terima Kasih Rubah). Dan seolah faham, ketiga-tiganya melompat naik ke katil untuk beri ruang pada aku tunaikan solat sunat. Alhamdulillah. Selesai saja doa, dush! budak-budak bertiga ni berguling di sejadah. Tiba-tiba saja mata hilang mengantuk. Layankan saja budak-budak ni. Nak nanges pun ada tengok gelagat kucing-kucing aku malam ni. Entahlah, mungkin sebab rasa macam kucing-kucing ni teman baik yang lebih faham aku. Walau tak dapat berkomunikasi dengan satu bahasa. Kami ada cara masing-masing untuk berinteraksi.

Sebenarnya terfikir, bila aku balik ke UiTM semula nanti, dah habis cuti. Tak semua ahli keluarga ada masa yang cukup untuk rawat budak-budak ni. Lagipun tak semua rajin untuk layan perangai cerewet 'anak-anak' aku ni. Siapa nak mandikan kucing, nak beri makan ubat, bawa ke klinik, cuci selimut dan bersihkan tempat 'poo-poo' budak-budak ni. Dan yang pasti aku akan rindu dengan gelagat si gebu ni semua. Rubah, kalau aku dah balik UiTM, mak cakap dia akan tidur dekat luar. Kadang-kadang jelah masuk rumah.

So, kat bawah ni ada gambar-gambar my lovely pets yang masih disimpan. 


Bergusti : Rubah (Calico), Louis (Orange) & Lucy (Grey)
'Sorry gambar Lucy nampak bontot jee. haha.'
Baru balik klinik : Stray Cats
(Kucing liar yang pernah suatu ketika diselamatkan)
Selepas cukup montel dan sihat, aku hadiahkan pada orang yang nak jaga.
Sekarang semuanya selamat di rumah keluarga baru.
Rindu!
Urgh jangan jeles, (2012) Aidilfitri. Tidur dengan Rubah. 
Ini Marble, dah hadiahkan untuk kawan. Comel kan ?
Lucy dan Louis teruja tengok bird. Sampai macam ni jadinya.
Lucy sudah debab!

Lofa posing okeh! makcik ni lebih selesa tidur diluar.
Tapi tempat tidur first class Inche' Asyraf dah siapkan untuk dia
"Lofa"
(Gambar ni waktu minggu pertama jaga dia)
Sombong lagi time ni! Garang gilaaa.. 
Inilah Lucy, Louis dan Lassie time baby.
Lassie (putih) dah tak ada. Kena culik dua bulan lepas :(
Makhluk mana entah culik.
Arghh! Tak nak ingat. Sedih.
Louis sibuk nak tangkap burung lagi
Jadi kalau ada yang tanya, kenapa Asyraf suka sangat dengan kucing? Erm.. kenangan yang ada dalam gambar-gambar ini semua mungkin boleh jadi salah satu jawapannya. 


Sebenarnya banyak lagi gambar, tapi tak larat Asyraf nak masukkan banyak-banyak. hehe. Asyraf ada bela arnab, kura-kura, burung, ikan dan lain-lain. Macam zoo okeh. In Shaa Allah, akan update lagi nanti. Semoga kita semua terus sayang dengan kucing dan haiwan-haiwan yang lain. 

Ada juga yang tanya, "betul tak bela kucing ni murah rezeki kita?"

Entahlah, pada Asyraf, rezeki itu Allah yang tentukan, kalau niat kita ikhlas, pasti ada. Bukannya bela kucing sebab nak rezeki murah semata. Rezeki tak semestinya datang dalam bentuk wang. Rezeki tu boleh jadi ada orang selalu belanja kita makan. Ada jemputan kenduri yang banyak. Dan duit gaji yang sedikit selalu mencukupi. Sebenarnya nikmat rezeki yang berkat itu lebih perlu difikirkan. 

Jaga diri, jaga iman. Sekian. 

AutoTagged "Copyright Blog Asyraf Khalib © All Rights Reserved by Mohammad Asyraf 2012 | 2013" : Copyright Malaysia Linked
Segala masalah yang dihadapi hasil pembacaan mana-mana entri yang terdapat dalam blog ini adalah dibawah tanggungjawab pihak pembaca sendiri, Terima Kasih.

Saturday, September 7, 2013

Buah Hati : Kucing Haiwan Kesayangan

Ada yang minat kucing di sini?
Alhamdulillah kita sama. 

Kali ini Asyraf ingin berkongsi tentang kucing iaitu haiwan yang cukup disayangi Baginda Rasulullah SAW. Asyraf faham, ada antara rakan-rakan yang tidak suka dengan kucing. Tak kurang ada yang geli dan takut dengan kucing, tetapi itu bukanlah alasan untuk bersikap kejam dengan si comel ini. Teman-teman rapat Asyraf sendiri pun ramai yang geli dengan kucing, ada yang geli dengan hidungnya yang basah, ada yang takut dengan perut kucing yang 'bergetar' apabila bernafas, ada yang takut dicakar dan ada juga yang memang alahan dengan bulu-bulu kucing. Takut dengan kucing ni pun sebenarnya satu penyakit yang tersangatlah comel. 

Kucing ialah sejenis haiwan comel yang sangat manja, ada yang berbulu tebal/panjang (long hair), berbulu pendek (short hair), dan ada pula yang tidak mempunyai bulu (yang tak ada bulu tu Asyraf geli! hehe). Sejak zaman Rasulullah SAW lagi, kucing memang haiwan yang disayangi.


Diceritakan dalam suatu kisah, Nabi Muhammad S.A.W memiliki seekor kucing yang diberi nama Mueeza. Suatu saat, dikala Nabi hendak mengambil jubahnya, ditemuinya Mueeza sedang terlelap tidur dengan santai diatas jubahnya. Oleh kerana Baginda tidak ingin mengganggu haiwan kesayangannya itu, Nabi pun memotong belahan lengan yang ditiduri Mueeza dari jubahnya. Ketika Nabi SAW kembali ke rumah, Muezza terbangun dan menunduk sujud kepada tuannya itu. Sebagai balasan, Nabi SAW menyatakan kasih sayangnya dengan mengelus lembut ke badan kucing itu sebanyak 3 kali. Setiap kali Nabi menerima tetamu di rumahnya, Nabi SAW selalu mengendong Mueeza dan diletakkan dipahanya. Salah satu sifat Mueeza yang Nabi SAW sukai ialah ia selalu berbunyi (meow) ketika mendengar azan dan seolah-olah suaranya terdengar seperti mengikuti lantunan suara azan (sohoque, 2012).

Kisah Nabi Muhammad SAW dengan kucing peliharaannya Mueezah, kisah ini sebenarnya diceritakan dalam sebuah hadis yang daif (lemah). Boleh dikategorikan sebagai hadis palsu. Namun begitu kita boleh mengambil pengajaran yang baik disebalik kisahnya. Janganlah sebarkan tanpa tujuan yang tidak munasabah. Anggap sahaja ianya sebuah kisah yang baik untuk diteladani. Lagi pula Baginda Nabi SAW memang terkenal dengan sifat penyayangnya terhadap haiwan berdasarkan beberapa hadis sahih yang lain.

Baginda Nabi SAW bersabda kepada para sahabatnya, Nabi berpesan agar para sahabat menyayangi kucing peliharaan seperti menyayangi keluarga sendiri. Hukuman bagi mereka yang menyakiti haiwan ini sangatlah berat. Dalam sebuah hadis sahih Al-Bukhari, dikisahkan tentang seorang wanita yang tidak pernah memberi makan kucingnya, dan tidak pula melepas kucingnya untuk mencari makan sendiri, Nabi S.A.W pun menjelaskan bahawa hukuman bagi wanita ini adalah seksa neraka. Isteri Nabi SAW sendiri, Aisyah Binti Abu Bakar pun amat menyukai kucing dan merasa amat kehilangan dikala ditinggal pergi oleh si kucing. Seorang sahabat yang juga ahli hadis, Abdurrahman Bin Sakhr Al Azdi diberi gelaran Abu Hurairah (bapa para kucing jantan), kerana kegemarannya dalam merawat dan memelihara berbagai kucing jantan di rumahnya.

Nabi SAW menegaskan dalam hadith baginda bahawa kucing ini adalah binatang tidak najis. Malah air bekas minuman kucing dibolehkan untuk berwudhuk. Hal ini dinyatakan dalam hadith baginda:

Diriwayatkan Ali bin Al-Hasan dan Anas menceritakan bahawa Nabi SaW pergi ke Bathhan suatu daerah di Madinah. Lalu beliau berkata, “Ya Anas, tuangkan air wudhuk untukku ke dalam bekas”. Lalu Anas menuangkan air. Ketika sudah selesai, Nabi menuju bejana. Namun terdapat seekor kucing datang dan menjilati bekas air tersebut. Melihat kejadian itu, Nabi berhenti sehinggakan kucing tersebut berhenti minum lalu Rasulullah berwudhuk. Nabi ditanya mengenai kejadian tersebut, beliau menjawab, “Ya Anas, kucing termasuk perhiasan rumah tangga, ia tidak dikotori sesuatu, malah tidak ada najis”.

 
Sabda Nabi SAW ini yang dilafazkan 1500 tahun dahulu telah dibuktikan kebenarannya oleh ahli sains di zaman sekarang. Sains mendapati bahawa kulit kucing mempunyai otot-otot yang berupaya melawan sel bakteria. Ototnya juga dapat menyesuaikan diri dengan sentuhan otot manusia. Permukaan lidah kucing pula dilapisi oleh berbagai benjolan kecil yang runcing dimana benjolan itu berbentuk bengkok menguncup seperti kikir atau mata gergaji. Bentuk ini amat berguna dalam membantu membersihkan kulitnya.




Panduan Lengkap : Tips Bagaimana Menjaga Kucing

Jika kita lihat semasa kucing sedang minum. Kita akan dapati tiada setitis air pun yang akan jatuh dari lidahnya. Di samping lidahnya yang merupakan alat pembersih yang amat hebat, permukaan lidahnya yang kasar berfungsi untuk membuang bulu-bulu mati di badannya dan membersihkan sisa-sisa bulu di badannya.

Kajian Yang Dijalankan

Telah dilakukan berbagai penyelidikan terhadap kucing mengikut pelbagai perbezaan usia, posisi kulit, punggung, bahagian dalam tapak kaki, bibir, dan ekor. Pada bahagian-bahagian tersebut dilakukan pengambilan sampel melalui usapan. Di samping itu, kuman juga diletakkan pada bahagian-bahagian tertentu. Diambil juga cairan khusus (air liur) yang berada pada dinding dalam mulut dan lidahnya.

Hasil ujian:

Hasil yang diambil dari kulit luar tidak mempunyai kuman, meskipun dilakukan berulang kali.


Gambar : kuman enterobacter yang tidak merbahaya


Tempat yang sengaja diletakkan kuman menunjukkan hasil negatif sekitar 80% (20% mempunyai kuman), jika dilihat dari air liurnya. Ini menunjukkan kucing dapat melawan kuman yang diberikan kepadanya.

Cairan yang diambil dari permukaan lidah juga menunjukkan tiada kuman.
Hanya sekali kuman dijumpai semasa proses penyelidikan. Kuman ini termasuk dalam kumpulan kuman yang dianggap sebagai kuman biasa yang selalunya membiak dalam tubuh manusia dalam jumlah yang kecil seperti enterobacter, streptococcus, dan staphylococcus. Jumlahnya kurang dan membiak dalam lingkungan 50 ribu pertumbuhan.

Kajian tidak menemui jenis kuman yang beragam dan berbahaya di badan kucing. Kesimpulan sains merumuskan bahawa kucing tidak mempunyai kuman dan mikrobakteria. Air liurnya bersih dan boleh membersihkan seluruh badannya.

Menurut doktor yang bergiat dalam bidang kuman, Dr. George Maqshud, ketua laboratorium di Klinik Haiwan Baitharah, katanya jarang sekali ditemui kehadiran kuman pada lidah kucing. Jika mempunyai kuman, itu tandanya kucing itu akan atau sedang sakit.

Ini amat berbeza dengan anjing. Dr. Gen Gustafsirl menemui kuman yang banyak pada anjing. Manusia pula mempunyai kira-kira 25% kuman berbanding yang ada pada anjing. Kucing hanya mempunyai separuh sahaja kuman berbanding yang didapati daripada manusia. Doktor haiwan di klinik haiwan Damaskus, Said Rafah menegaskan bahawa kucing mempunyai peranti pembersih yang bernama lysozyme.

Mengapa kucing kurang menggemari air? Ini adalah kerana air merupakan tempat yang sangat subur dalam pertumbuhan bakteria. Kucing juga sangat menjaga kestabilan suhu tubuhnya. Inilah sebenarnya yang menyebabkan kucing agak liat untuk dimandikan. (Tetapi kalau kucing yang dipelihara di rumah, sebaiknya mandikannya untuk pastikan kesihatan isi rumah sendiri terjaga)

Jika diperhatikan, kucing tidak banyak berjemur dan tidak suka mendekati air. Tujuannya agar bakteria tidak berpindah kepadanya. Inilah yang menjadi faktor yang membuatkan kuman tidak ada pada tubuh kucing.

Hadis-Hadis tentang Kucing

Kabsyah binti Kab bin Malik menceritakan bahawa Abu Qatadah, mertua Kabsyah masuk ke rumahnya lalu ia menuangkan air untuk wudhuk. Pada masa itu datang seekor kucing yang ingin minum. Lantas ia menuangkan air di bekas untuk kucing itu minum. Kabsyah berkata, “Perhatikanlah”. Abu Qatadah berkata, “Apakah kamu hairan?” Kabsyah menjawab, “Ya”. Lalu Abu Qatadah berkata bahawa Nabi SAW pernah bersabda, Kucing itu tidak najis. Kucing binatang yang suka berkeliling di rumah (binatang rumahan), (HR At-Tirmidzi, An-Nasai, Abu Dawud, dan Ibnu Majah).

 

Diriwayatkan dari Dawud bin Shalih At-Tammar dan ibunya yang menerangkan bahawa hambanya memberikan Aisyah semangkuk bubur. Namun ketika ia sampai di rumah Aisyah, tenyata Aisyah sedang solat. Lalu ia memberikan isyarat untuk menyimpannya. Sayangnya setelah Aisyah selesai mendirikan solat, ia lupa adanya bubur. Datanglah seekor kucing lalu memakan sedikit bubur tersebut. Ketika Aisyah melihat bubur tersebut dimakan kucing, Aisyah lalu membersihkan bahagian yang disentuh kucing dan Aisyah memakannya. Rasulullah SAW bersabda, “Ia tidak najis. Ia binatang yang berkeliling”. Aisyah pernah melihat Rasulullah Saw berwudhuk dari sisa bekas jilatan kucing, (HR AlBaihaqi, Abd Al-Razzaq, dan Al-Daruquthni).


Subhanallah, hebat bukan?

Orang yang sayang kucing, InsyaAllah murah rezeki. Kalau ada kucing datang minta makanan, tak kisahlah kucing liar atau kucing yang memang comel, berilah makan barang secebis. Mana tahu dia wakil dari Allah taa'la yang datang untuk menguji kita.

Jangan sepak, tendang atau tengking kucing, kesian dia. Dia pun nak hidup juga, berkasih sayanglah. Kalaupun tak suka kucing, jangan sakitkan dia. 

Kat rumah Asyraf di Kedah, ada banyak kucing, semuanya adopt dan pungut tepi jalan dan pasar, awal-awal ambil tu comot dan kurus. Sekarang Alhamdulillah comel dan sangat gemuk. 

Ustaz Asyraf pernah pesan, kalau nak belajar ikhlas dalam bersedekah, ringankan tangan untuk beri makan pada kucing. Lama-lama kita akan memberi tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Gambar di bawah antara gambar kucing-kucing Asyraf. InsyaAllah kalau sudah berkerja nanti dan punyai rumah sendiri, Asyraf simpan impian nak buka sebuah pusat kebajikan untuk kucing. Mana tahu dapat selamatkan kucing-kucing liar yang terbiar sakit diluar sana. Doakan ya! 


Baby Cats

Baby Cats

Rubah and Me

Sebenarnya banyak lagi gambar kucing-kucing Asyraf, tapi cukuplah dulu yee. Nanti kalau Asyraf sudah punya rumah sendiri, entahlah berapa ekor kucing yang Asyraf bawa balik (addict sangat!). Sekarang ni agak sukar sebab tinggal dengan keluarga di Kedah. Nenek ada alahan dengan bulu kucing. Jadi tak boleh pelihara banyak-banyak sangat. Apa pun sayangilah kucing-kucing yang ada atas muka bumi ni. Best sebenarnya bila dah mula minat. Tapi tolong sangat, kalau nak pelihara kucing, pelihara betul-betul. Kalau sakit, cepat-cepat dapatkan rawatan. Dan kalau ada yang baik hati nak hadiahkan kucing-kucing yang comel! hehe. Asyraf angkat tangan. Nak sangat! :D

Tabarakallah, Keep Calm and Love Cats.


Penat Menulis :
Copyright Muslim Writer © All Rights Reserved by Mohammad Asyraf 2012- indexs12